
Terlepas Pandang Akibatnya Besar
Kena Penalti 15% jika abaikan CP500
Apa itu Cukai CP500 ?
CP500 merupakan notis anggaran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN yang menyatakan jumlah anggaran cukai yang anda perlu bayar untuk tahun semasa untuk perniagaan enterprise. Manakala untuk syarikat, koperasi, badan amanah dan PLT perlu rujuk CP204 dengan 12 kali ansuran.
Jumlah cukai CP500 ini tidak perlu dibayar sekaligus, sebaliknya dibahagikan kepada 6 kali ansuran bayaran mengikut tarikh yang telah ditetapkan sepanjang tahun dengan berdasarkan jumlah cukai yang pernah dibayar pada tahun sebelumnya.
Bayaran ni dianggap sebagai cukai untuk tahun semasa. Jadi, bila tiba masa untuk buat e-Filing (Borang B) di hujung tahun nanti, kalau anda terlebih bayar, lebihan itu akan dipulangkan semula kepada anda. Tapi kalau terkurang, anda perlu buat bayaran tambahan untuk menampung perbezaan jumlah cukai yang perlu dibayar.
Kegagalan membuat bayaran ini boleh dikenakan penalti lewat iaitu 10% daripada jumlah tertunggak, dan tambahan 5% jika masih gagal membayar selepas 60 hari.
Pembatalan cukai CP500 adalah tidak dibenarkan tetapi sekiranya pembayar cukai tidak bersetuju dengan jumlah anggaran cukai yang dinyatakan dalam CP500, pindaan bayaran ansuran boleh dikemukakan melalui CP502 sebelum 30 Jun bagi tahun taksiran berkenaan.
Jika pindaan dibuat melalui CP502 lebih rendah dari cukai sebenar yang perlu dibayar pada tahun semasa itu, maka penalti 10% akan dikenakan sekiranya perbezaan cukai melebihi 30% dari cukai sebenar.

Tempoh yang ditetapkan untuk bayaran ansuran ini adalah pada bulan Mac, Mei, Julai, September, November dan Jan tahun berikutnya.