Bersih Dosa Sucikan Jiwa

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp

PENIAGA WAJIB mengeluarkan zakat mengikut kadar yang ditetapkan atas harta perniagaan yang layak dizakatkan tertakluk kepada kadar nisab. Islam sangat memuliakan golongan peniaga, orang yang mencari nafkah hidupnya dengan perdagangan atau perniagaan.

Oleh itu, untuk kesejahteraan mereka, Islam telah menyediakan satu bentuk penyucian bagi mereka, yakni membersihkan harta dan jiwa dengan berzakat.

Firman Allah SWT: Adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya pada jalan kebaikan dan bertakwa serta dia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik, maka sesungguhnya Kami (Allah) akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan. Sebaliknya orang yang bakhil dan berasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya, serta dia mendustakan perkara yang baik, Maka sesungguhnya Kami (Allah) akan memudahkannya untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan – Surah Al-Lail 5-10.

Kepentingan hasil zakat kepada negara amnya dan masyarakat Muslim khususnya, tidak dapat dinafikan di negara kita. Kutipan zakat digunakan sebagai medium kepada pembangunan ummah terutamanya dalam usaha kerajaan membantu golongan miskin.

Sekiranya kutipan zakat dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa, maka ia akan menjadi pemangkin kepada peningkatan taraf hidup masyarakat Islam.

Menyedari hakikat ini, kerajaan dan pihak berkuasa zakat negeri telah mengambil pelbagai inisiatif bagi menyedarkan masyarakat tentang pentingnya membayar zakat kepada pihak berwajib.

Antara usaha yang dijalankan termasuklah menswastakan urusan kutipan dan agihan zakat dan menyediakan pelbagai kemudahan pembayaran zakat seperti kiriman wang, wang pos, bank draf, arahan tetap melalui bank dan potongan melalui biro angkasa. Dengan adanya usaha-usaha ini, sepatutnya tiada lagi alasan bagi masyarakat untuk tidak membayar zakat.

Rencana Terkini

Kategori