
Laporan Tak Lengkap & Bisnes Tersangkut Dengan LHDN
Ramai usahawan kecil dan sederhana hari ini semakin cakna tentang pentingnya mengurus kewangan syarikat secara profesional. Tapi… ada satu kesilapan besar yang masih berlaku; serah bulat-bulat urusan akaun kepada orang luar tanpa faham apa yang mereka sediakan.
Lebih malang, ada yang tertipu dengan laporan kewangan “main buat”, tak lengkap dan tak ikut format sebenar. Akibatnya? Bila LHDN datang audit atau semakan dibuat, barulah tersedar laporan yang dihantar tak sah, tak telus, tak lengkap malah berisiko tinggi dikenakan penalti dan tindakan undang-undang.
Jadi, apa sebenarnya yang perlu ADA dalam Management Account? Jom fahamkan isi kandungannya satu per satu.
Apa Itu Management Account?
Management Account ialah laporan kewangan dalaman yang disediakan secara berkala sama ada bulanan ataupun tahunan untuk membantu usahawan faham kedudukan kewangan syarikat secara semasa. Ia bukan sekadar “senarai untung rugi”, tetapi satu dokumen penting yang boleh menyelamatkan (atau menjahanamkan) bisnes anda.
Isi Kandungan Penting Dalam Management Account
1. Penyata Untung Rugi (Profit & Loss Statement)
Ini laporan yang menunjukkan berapa jumlah jualan, kos barang, perbelanjaan dan keuntungan bersih syarikat anda dalam satu tempoh.
Red Flag: Kalau laporan ni tak asingkan antara pendapatan dan perbelanjaan, atau tak kira kos jualan dengan betul anda tak akan tahu bisnes untung betul atau sekadar nampak macam untung.
2. Penyata Kedudukan Kewangan (Balance Sheet)
Laporan ini tunjuk apa yang syarikat miliki (aset), apa yang syarikat hutang (liabiliti), dan baki pemilik (ekuiti).
Red Flag: Jika laporan tak senaraikan aset tetap, stok atau hutang syarikat itu petanda laporan tak lengkap dan tak boleh dipakai untuk keputusan kewangan besar seperti pembiayaan bank.
3. Penyata Aliran Tunai (Cash Flow Statement)
Menunjukkan pergerakan tunai masuk dan keluar syarikat. Ini penting untuk tahu sama ada anda ada cukup tunai untuk bayar gaji, sewa dan komitmen lain.
Red Flag: Ramai “akauntan palsu” abaikan laporan ini sebab ia perlukan kemahiran teknikal tapi kalau tiada, anda mungkin fikir syarikat sihat sedangkan tunai kritikal.
4. Nota Penjelasan (Financial Notes)
Laporan profesional akan sertakan penjelasan tambahan – contohnya: kenapa jualan turun? Apa sebab margin untung kecil?
Red Flag: Kalau anda dapat laporan “senyap”, tanpa penerangan satu pun ini tanda laporan dibuat sekadar melepaskan batuk di tangga.
5. Analisis Perbandingan (Comparative Analysis)
Laporan ini bandingkan prestasi bulan ini vs bulan lalu, atau tahun ini vs tahun lepas. Ini penting untuk bantu anda buat perancangan.
Red Flag: Tiada perbandingan bermaksud anda tak tahu apa yang sedang berkembang atau merosot dalam bisnes anda.
6. Ledger of Account (Lejar Akaun)
Ini adalah rekod terperinci bagi setiap transaksi kewangan syarikat setiap sen yang masuk dan keluar akan direkod dalam akaun tertentu seperti Jualan, Gaji, Sewa, Bank, Inventori dan sebagainya. Ledger ini penting untuk kesan ketepatan laporan utama (Profit & Loss, Balance Sheet dan Cash Flow).
Red Flag: Kalau laporan anda tiada lejar, atau anda tak pernah nampak rekod transaksi satu per satu, itu petanda besar laporan anda mungkin “dicampur” atau tak disokong oleh bukti. Bila audit datang, inilah dokumen yang LHDN akan semak terlebih dahulu.
Bahaya Bila Laporan Tak Lengkap
Kalau laporan anda disediakan oleh individu yang:
- Tiada kemahiran dan kelulusan
- Tak ikut standard perakaunan
- Sekadar “copy paste template”
…anda mungkin berdepan kesan serius seperti:
- Laporan percukaian yang salah menyebabkan LHDN mengesyaki penipuan cukai
- Tiada justifikasi audit bila diaudit, tak dapat kemukakan dokumen sokongan
- Kehilangan peluang pembiayaan bank atau pelabur tak percaya pada dokumen kewangan anda
- Tindakan undang-undang termasuk penalti, kompaun atau tuduhan jenayah kewangan jika terbukti cuai atau menipu
Laporan yang cantik dan penuh graf tak bermakna kalau anda tak faham apa isinya. Anda tak perlu jadi akauntan, tapi anda WAJIB tahu apa yang perlu ada dalam laporan kewangan anda sendiri.
Tanya penyedia laporan tu dengan soalan ni :
- “Ada tak aliran tunai?”
- “Margin untung bersih saya berapa?”
- “Kenapa kos operasi naik bulan ni?”
- “Ada detail ledger account & fullset tax computation tak?”
- “Key-in guna sistem atau buat excell sahaja?”
Kalau dia tak boleh jawab atau kelihatan mengelak itu amaran awal.
Ingat!, laporan kewangan ialah cermin sebenar bisnes anda. Jangan sekadar serah pada orang luar dan lepas tangan. Bila anda faham isi kandungan sebenar dalam Management Account, anda bukan saja elak tertipu malah lindungi diri dan bisnes anda daripada risiko yang besar.
“Jangan biar laporan palsu runtuhkan bisnes yang anda bina bertahun-tahun.“