Bayar Derma – Kelebihan Cukai atau Liabiliti Tersembunyi?

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp

Dalam dunia perniagaan moden, memahami selok-belok percukaian adalah satu kemestian bukan sekadar untuk bayar cukai, tetapi juga merancang strategi pertumbuhan dan memanfaatkan peluang yang sah di sisi undang-undang. Salah satu peruntukan cukai yang sering tidak difahami oleh usahawan dan pemimpin organisasi sosial ialah Subseksyen 44(6) di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

Subseksyen 44(6) adalah peruntukan dalam Akta Cukai Pendapatan Malaysia yang memberi kemudahan pengecualian cukai dan potongan cukai kepada penyumbang (derma) kepada institusi, organisasi atau tabung yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri. 

Secara ringkasnya:

✅ Organisasi bukan keuntungan seperti NGO, tabung kebajikan atau yayasan boleh memohon kelulusan di bawah subseksyen ini.

✅ Jika diluluskan, pendapatan yang diterima oleh organisasi tersebut (termasuk derma tunai) boleh dikecualikan dari cukai pendapatan.

✅ Penyumbang yang memberi derma kepada organisasi berkenaan pula boleh menuntut potongan cukai sehingga 10% daripada jumlah pendapatan agregat dalam pengiraan cukai tahunan mereka.

Ini merupakan insentif yang kuat bukan sahaja untuk NGO dan yayasan tetapi juga usahawan yang menjalankan aktiviti sosial kerana derma atau sumbangan yang mereka terima bukan sahaja membantu tujuan misi, tetapi juga memberi manfaat cukai kepada penyumbang. 

Ramai usahawan hari ini bukan sekadar mengejar keuntungan semata-mata, tetapi turut memimpin inisiatif sosial, program CSR dan aktiviti kebajikan. Dengan mengambil status di bawah S.44(6):

✅ Peningkatan keyakinan penyumbang, pelabur sosial dan penderma lebih terdorong untuk memberi sumbangan apabila mereka tahu ia memberi manfaat cukai.

✅ Penjimatan kos cukai organisasi pendapatan yang layak boleh dikecualikan cukai sepenuhnya sepanjang tempoh kelulusan.

Contohnya, sebuah yayasan pendidikan atau tabung bantuan bencana boleh menarik lebih banyak sumbangan jika status cukai S.44(6) diperoleh, kerana penderma individu atau syarikat boleh menuntut potongan sehingga 10% daripada pendapatan tahunan mereka. 

Mulai 27 November 2025, LHDN telah menetapkan bahawa tempoh kelulusan di bawah subseksyen 44(6) tidak boleh melebihi 10 tahun.

Sebelum ini, tempoh kelulusan ditentukan berdasarkan pertimbangan kes demi kes tanpa had masa yang seragam. Kini, mana-mana organisasi yang menerima kelulusan baharu selepas tarikh ini akan mempunyai had maksimum 10 tahun kelulusan sahaja. 

Kelulusan awal yang sudah dikeluarkan sebelum tarikh ini akan terus sah sehingga tamat tempoh asalnya, tetapi kelulusan baru selepas tarikh itu hanya akan diberi sehingga maksimum 10 tahun. 

📝 Untuk institusi atau organisasi yang memohon kelulusan di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967 

Kelulusan di bawah subseksyen 44(6) bukanlah “lesen seumur hidup” tanpa syarat. Terdapat kriteria dan tanggungjawab pematuhan yang mesti dipenuhi sepanjang tempoh kelulusan. 

Antara kesalahan yang boleh menyebabkan pembatalan kelulusan termasuk:

❌ Gagal menyimpan rekod kewangan dengan teratur atau gagal mengeluarkan resit rasmi mengikut format yang ditetapkan.

❌ Tidak mematuhi syarat perbelanjaan atau objektif yang ditetapkan dalam garis panduan LHDN.

❌ Tidak mengemukakan laporan atau penyata yang diperlukan dalam tempoh masa yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Jika LHDN menarik balik kelulusan subseksyen 44(6), organisasi tersebut tidak lagi layak untuk pengecualian cukai dan calon penderma tidak boleh menuntut potongan cukai terhadap sumbangan yang dibuat di bawah status itu. 

📌 Patuhi semua garis panduan LHDN – Pastikan prosedur pemberi dan penerimaan derma, penyimpanan rekod dan laporan tahunan adalah telus dan lengkap.

📌 Gunakan sistem dalam talian e-Derma – LHDN kini menyediakan sistem e-Derma untuk memudahkan permohonan pengecualian cukai di platform MyTax, menjadikan proses lebih sistematik dan efisien (Khas untuk institusi atau organisasi yang mendapat kelulusan di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967 sahaja.) 



Subseksyen 44(6) bukan sekadar “peluang potongan cukai” ia adalah platform penting untuk organisasi sosial dan usahawan berintegrasi dengan sistem percukaian Malaysia, menarik sumbangan serta melibatkan komuniti dan pelabur sosial secara mampan. Pematuhan bukan pilihan semata, tetapi keperluan untuk memastikan manfaat ini terus dinikmati sepanjang tempoh kelulusan yang ditetapkan.

Rujukan maklumat daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM)

Rujukan Senarai institusi atau organisasi yang mendapat kelulusan di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967

Rencana Terkini

Kategori